NAFKAH ISTERI DAN ANAK

Assalamualaikum warah matullah wabarakatuh.

Terima kasih kerana mengikuti artikel kami seterusnya pada minggu ini, dalam usaha kami untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat awam beragama Islam tentang perkara asas dalam isu-isu syariah berkenaan rumahtangga. Minggu ini kita akan berkongsi pandangan berkenaan nafkah isteri dan nafkah anak, suatu isu yang tidak pernah surut, baik dalam kes yang difailkan di Mahkamah mahupun dalam kehidupan seharian suami isteri.  Perkara ini perlu diketahui untuk panduan hidup seharian suami/isteri, dan berbangkit juga sekiranya berlaku perceraian dan isteri/ibu ingin membuat tuntutan nafkah dari suami/bapa.

Ada 5 perkara penting yang kami rasakan perlu diketahui oleh para isteri (dan suami sebagai pemberi nafkah) berkenaan nafkah isteri dan nafkah anak.

6

1. Jenis-jenis nafkah wajib (Makan Minum, Pakaian, Tempat Tinggal, Persekolahan dan Perubatan)

dinner 2

Setiap hari, seorang suami dan bapa wajib menanggung 100% kos makan minum, pakaian dan tempat tinggal isteri dan anak-anaknya (ya, walaupun isteri bekerja dan berpendapatan tinggi). Contohnya:-

  1. kos makan minum isteri dan anak rm10 sehari (rm10 x 30 hari = rm300 sebulan);
  2. kos pakaian (termasuk lampin pakai buang anak (rm150 sebulan); dan
  3. kos tempat tinggal yang baik (contohnya sewa atau ansuran bulanan sebanyak rm800 sebulan di Lembah Klang).

Berdasarkan contoh di atas, ini bermakna kos sebulan nafkah yang wajib ditanggung suami (bagi yang mampu) adalah rm1250 sebulan (ini hanya anggaran kiraan dan bergantung kepada jumlah anak, lokasi tempat tinggal dan sebagainya).

Dalam keadaan tertentu, contohnya apabila isteri atau anak sakit, atau anak sedang bersekolah, nafkah yang wajib ditanggung seorang suami dan bapa juga termasuk kos persekolahan dan perubatan, kerana memberi didikan ilmu itu adalah wajib kepada seorang bapa, dan menjaga kesihatan isteri dan anak juga adalah wajib. Bapa juga perlu tahu bahawa ibu berhak kepada upah susuan dan upah menjaga anak, oleh itu bapa sepatutnya membayar upah tersebut kepada ibu dalam bentuk elaun wang atau membayar yuran taska sekiranya ibu memilih untuk menghantar anak ke taska sebagai ganti upah menjaga anak.

Perkara-perkara yang boleh dirundingkan adalah berkenaan perkara-perkara tambahan seperti kenderaan isteri ke tempat kerja, yuran persekolahan swasta seperti preschool / montessori, rawatan perubatan di hospital swasta, percutian keluarga dan sebagainya. Ini semua bergantung kepada fakta kes masing-masing, terutamanya jika suami berkemampuan menyediakan semua ini.

2. Kadar nafkah adalah mengikut kemampuan suami/bapa

19f6fe3bdb3f39d9eab2c6de4464d561

Walaupun demikian, Islam tidaklah membebankan seorang suami atau bapa melebihi kemampuannya (melainkan dia dengan sengaja tidak mahu bekerja atau malas bekerja keras). Oleh itu, suami yang berpendapatan rm1000 sebulan contohnya, hanyalah menanggung isteri dan anak dalam lingkungan pendapatannya itu, melainkan dia berkemampuan untuk meningkatkan taraf hidup keluarga tanpa mengganggu tanggungjawab lain, maka perlulah dia mendapatkan pendapatan lebih tersebut sekiranya pendapatan semasa tidak mencukupi. Bagi para suami, bijaklah merancang tempat tinggal dan gaya hidup supaya pendapatan itu cukup untuk menanggung isteri dan anak. Ingatlah, Allah menilai segala usaha anda dan mengetahui samaada anda sebenar-benarnya mampu atau tidak.

3. Isteri yang bekerja boleh membantu (ikhlas atau pinjaman?)

workingmom

Inilah realiti hari ini. Pendapatan suami seorang tidak mencukupi untuk menanggung kos hidup yang selesa untuk isteri dan anak-anak. Jadi kebanyakan isteri pada hari ini memilih untuk bekerja bagi membantu suami menanggung kos hidup keluarga. Isteri selalu membeli barangan dapur menggunakan duit gaji sendiri, membayar taska anak, membeli pakaian sendiri, membeli pakaian anak2 dan kadangkala berkongsi membayar ansuran bulanan rumah. Semuanya diberi dengan rela. Namun, adalah amat penting untuk isteri berterus-terang dengan suami samaada bantuan isteri menggunakan wang gajinya adalah ikhlas atau hanya dipinjamkan sementara sehingga suami mampu membayar semula.

Cara mengetahui ikhlas atau pinjaman? Isteri perlu menjawab soalan ini dengan sejujurnya: “Sekiranya suamiku berkahwin dua apabila dia sudah berpendapatan lumayan satu hari nanti, adakah aku akan mengungkit kembali sumbangan duitku untuk membantu keluarga selama ini?” Sekiranya jawapannya ya (walaupun bukanlah bermakna suami anda betul2 akan berpoligami satu hari nanti, ini hanya sebagai panduan mengukur keikhlasan), tolonglah beritahu suami anda bahawa anda hanya berniat untuk me’minjam’kan sahaja semua sumbangan anda untuk keluarga, dan suami perlu membayar semula apabila berkemampuan suatu hari nanti. Terlalu banyak kes perceraian akibat suami berpoligami di mana isteri pertama menuntut kembali sumbangan wangnya kepada keluarga sejak berkahwin, sedangkan suami mengatakan isteri pertama tidak pernah mengatakan itu hanya pinjaman dan dengan rela dan ikhlas memberinya pada masa itu tanpa mengharapkan bayaran kembali.

Suami pula tidak wajar menuntut bahawa dengan memberikan kebenaran bekerja kepada isteri, isteri wajib membantu menggunakan wang gaji isteri. Jika anda ingin berbuat demikian, seeloknya tidaklah perlu bagi isteri anda bekerja, kerana anda yang sepatutnya mencari pekerjaan yang cukup gajinya untuk menanggung keluarga, bukan dengan memindahkan sebahagian tanggungjawab nafkah kepada isteri (atau kadangkala langsung tidak menanggung isteri), melainkan isteri dengan nyata dan ikhlas menyatakan kesanggupan berkongsi tanggungan.

4. Tuntutan nafkah isteri, nafkah anak dan nafkah tertunggak (isteri dan anak)

alimony2

Tahukah anda bahawa seorang isteri dan ibu boleh menuntut nafkah dari suami di Mahkamah sekalipun tidak bercerai? Tetapi secara realitinya ini jarang berlaku kerana isteri tidak mahu mengeruhkan hubungan suami isteri dengan mengheret suami ke Mahkamah. Namun, memang ada kes yang difailkan oleh isteri demi kebajikan anak-anak, demi memaksa suami untuk membuat bayaran nafkah setiap bulan. Malah, ada juga kes di mana seorang bapa tua memfailkan tuntutan nafkah terhadap anaknya sendiri! Ini adalah hak anda dan anak anda, maka terpulang kepada anda untuk membuat keputusan sekiranya keadaan memaksa anda membawa suami ke Mahkamah.

5. Penguatkuasaan perintah nafkah

m_id_411086_pakistani_jails

Setelah seorang isteri atau bekas isteri atau mana-mana penjaga kepada anak berjaya mendapatkan perintah Mahkamah untuk mendapatkan nafkah (samaada nafkah ‘iddah, nafkah tertunggak isteri, nafkah isteri akan datang, nafkah anak tertunggak, nafkah anak sehingga 18 tahun atau tamat belajar, atau kesemuanya sekali), maka perintah tersebut boleh dikuatkuasakan dengan pelbagai cara. Antaranya, memohon agar majikan suami membuat potongan gaji setiap bulan dan dikreditkan terus ke akaun isteri atau memohon cagaran nafkah di mana isteri atau mana-mana pemegang amanah yang dilantik Mahkamah boleh memegang harta milik suami (seperti kenderaan, jam tangan mewah) dan boleh menjualnya sekiranya suami gagal membuat bayaran nafkah.

Sekiranya suami gagal untuk membuat bayaran nafkah sekalipun perintah Mahkamah telah dibuat, isteri atau ibu boleh memfailkan permohonan komital untuk memasukkan suami ke penjara kerana menghina Mahkamah kesan daripada mengabaikan perintah nafkah tersebut, atau memfailkan saman penghutang penghakiman di Mahkamah. Dalam soal ini, isteri yang kurang berkemampuan untuk melantik peguam boleh meminta bantuan Bahagian Sokongan Keluarga di negeri masing-masing atau di JKSM.

Sekian sahaja secara ringkas perkongsian untuk minggu ini. Panduan di atas hanyalah pandangan penulis semata dan setiap kes yang berlaku adalah berbeza mengikut fakta kes masing-masing.

Sekian,

Ashikin Rahim

Sebarang pertanyaan atau untuk melantik Peguam Syarie, boleh click WhatsApp Link: https://wa.link/gnrupa

Comments (84)

  1. Saida punita

    Reply

    Assalamualaikum puan.suami saya pernah berkahwin sepupu dia dan sdh bercerai selama 4 tahun lebih.tetapi bekas isteri baru minta nafkah.suami saya bercerai talak 1 bain sugra.dan tidak ada anak.bekas isterinya meminta nafkah tuntutan tunggakan nafkah isteri, nafkah eddah dan ganti rugi perkahwinan.adakah suami saya perlu memberi nafkah eddah?tunggkan nafkah isteri tu cuma mereka tinggal sekali selama 8 bulan.dalam 8 bulan selepas nikah di Kedah bekas isteri membawa rumah ibubapa di Kuala lumpur.5 bulan suami saya tinggal dgn keluarga bekas isteri dan tidak dapat kerja di Kuala lumpur.suami saya suruh tinggal di Kedah bersama keluarga suami dan bekas isteri enggan tinggal dgn keluarga suami.dia tidak pernah ikut perintah suami.Dan 3 bulan baru mereka tinggal berasingan di rumah sewa.suami dapat kerja dan memberi nafkah pakaian, makanan dan tempat tinggal.dan dia juga memberi rm100 selama 3 bulan.tetapi perlukah suami saya perlu memberi nafkah isteri lagi selapas bercerai.ganti rugi perkahwinan tu apa maksud pula.tolong memberi penjelasan.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam, maaf atas kelewatan respon, dari segi undang-undang, memang ada diperuntukkan untuk isteri/bekas isteri membuat tuntutan hak nafkah diri tertunggak, nafkah iddah, saguhati perkahwinan (mut’ah). Sekiranya kes telah difailkan di Mahkamah dan telah keluar perintah Mahkamah, maka bekas suami tersebut adalah terikat dengan perintah tersebut dan wajib melaksanakan sepertimana yang telah diperintahkan. Mut’ah bermaksud saguhati perhawinan kepada bekas isteri yang mana punca perceraian adalah berpunca daripada suami.

  2. Azlin

    Reply

    Salam, sy dan suami bekerja.suami byr rumah kereta dan lain2.sy pula byr pengasuh anak, sekolah anak bil2 brg dapur baju2 anak.Kdg2 sy ada suarakan berkenaan ini kepada suami.tp dia terus melenting.mmg pantang bila sy isukan berkenaan nafkah dah tanggungjwab ni pada dia. Katanya itu sajalah yg dia mampu.bila sy suarakan isu ini dia akan tarik muka.niat sy cuma mengingatkan dan kdg hanya bersembang kosong.tp dia terus melenting. adakah sy tak boleh bercakap lansung isu ini dgn dia?.

    • admin

      Reply

      Wassalam, ya puan berhak untuk menyuarakan perkara ini kepada suami kerana hakikatnya perkara-perkara tersebut sememangnya termasuk di bawah tanggungjawab suami selaku bapa kepada anak. Mungkin suami puan merasa terbeban dengan perbelanjaan dan tanggungan isi rumah. Sekiranya puan dan suami dapat bekerjasama dan berkompromi dalam menanggung nafkah anak tersebut adalah amat baik sekiranya kedua-dua pihak bersetuju. Namun, adakalanya perkara ini masih juga perlu dibincangkan sekiranya salah satu pihak merasa terbeban atau timbul apa-apa masalah lain yang boleh memberi kesan kepada tanggungan anak tersebut. Maka, dalam keadaan ini pihak-pihak perlu duduk, berbincang cara baik untuk mengira semula dan merancang semula perbelanjaan tersebut untuk kebaikan semua pihak tanpa perlu memanjangkan perkara ini sehingga ke mahkamah.

  3. Ms Nazifah

    Reply

    Salam Tuan/Puan,
    Saya telah berkahwin selama 2 tahun lebih. Kami PJJ. Saya mempunyai kerja tetap dan suami berjanji akan mencari kerja selepas kahwin, namun sampai sekarang dia masih gagal untuk tunaikan janji untuk duduk bersama dan mencari kerja sebaliknya masih enggan berpindah dari negeri asal dia. Setiap bulan saya menanggung segala perbelanjaan A to Z segala2 dan dia seorang yang boros berbelanja . Kami berjumpa dalam 3 bulan sekali sama ada saya pergi ke negeri dia atau pelbagai alasan untuk dia balik di lokasi saya.
    Hutang suami dengan saya bernilai beratus ribu kerana beberapa projek bisnes tidak mendatangkan hasil. Tiap kali saya enggan memberi dia duit, ugutan cerai akan di buat pada saya dan minta maaf menyesali kelakuannya selepas itu. Saya dalam tempoh masih bersabar dengan memberi peluang namun saya ingin bertanya bole kah saya memohon saman untuk suami saya (syariah / sivil). Segala transaksi, whatsapp ugutan dan permintaan duit pada saya dari bulan ke bulan saya ada simpan sebagai rekod.

    Saya juga masih buntu sama ada masih harus bersabar atau sebelaiknya terhadap perkahwinan ini. Mohon pandangan dari segi undang-undang mengenai perkara ini

    • admin

      Reply

      Wassalam puan, pada pandangan saya, sekiranya sudah tiada jalan untuk kedua-dua pihak berdamai, dan sekiranya bertahan dalam perkahwinan akan mendatangkan mudarat lebih besar, maka tidak salah untuk meneruskan dengan perceraian. Berkenaan dengan hutang-hutang tersebut, sekiranya puan berniat untuk meneruskan dengan perceraian, maka puan boleh membuat tuntutan hutang perkahwinan di mahkamah syariah yang bermaksud, hutang-hutang yang boleh dituntut sama ada oleh isteri atau suami terhadap pasangannya bagi hutang yang wujud semasa dalam tempoh perkahwinan pihak-pihak.

      Mengenai ugutan cerai yang dilafazkan, sekiranya ugutan tersebut berbunyi seperti lafaz cerai berbentuk taklik, puan boleh failkan pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah untuk hakim siasat fakta kes dan menentukan sama ada ia adalah lafaz cerai yang sah atau tidak.

      Sekiranya puan tidak ingin meneruskan dengan perceraian tetapi ingin menuntut hutang yang tidak dibayar oleh suami, boleh sahaja memfailkan saman terhadap suami di mahkamah sivil. Semoga puan dikurniakan ketenangan hati dan dipermudahkan segala urusan.

  4. fiera

    Reply

    maaf untuk pertanyaan jika pihak suami saya telah berjaya lunaskan nafkah sepanjang dia berkhidmat dan bagaimana cara untuk dia ubah perintah mahkamah untuk kurangkan jumlah nafkah selepas dia bersara kerana kemampuan dia untuk nafkah tidaklah dapat diberikan sama seperti waktu dia bertugas. mohon pencerahan kerna pihak bekas isteri kerap memberi ugutan dan ancaman pada anak2 dengan memburukkan bekas suami.

    • admin

      Reply

      Salam puan, pihak suami boleh failkan tuntutan ubah perintah nafkah anak di mahkamah syariah dan boleh masukkan alasan sepertimana yang puan sebutkan untuk menyokong tuntutan tersebut.

  5. Hanis

    Reply

    Askm…sy dan suami telah btengkar dihadapan family suami..dlm perjalan pulang antar sy ke rumah suami telah melafazkan cerai talak 3 dlm kereta tnpa saksi..adakah talak jatoh?sy sudah buat pengesahan lafaz cerai dan tarikh ke mahkamah sudah diberi tetapi suami tak nak hadir ke mahkamah..apa proses yg perlu sy lakukan kerana kami tidak lg bsua muka dan tidak bercakap pon..

    • admin

      Reply

      Salam puan. Tak mengapa, teruskan sahaja kes tersebut. Mahkamah boleh keluarkn notis amaran/waran tangkap untuk suami hadir ke mahkamah.

      • Kiey

        Reply

        Saya macam ni cik isteri saya telah mengugut saya supaya menceraikan dia…saya dah melafazkan dua kali lafaz talaq…isteri saya mengugut menggunakan pisau supaya ceraikan dia…sepangjang tu kami tak pergi ke mahkamah
        Kami selesaikan berbaik secara biasa
        Sekarang atas kehendak saya untuk ceraikan dia di mahkamah
        Apakah langkah yg perlu sy buat

        • admin

          Reply

          Salam encik, saya nasihatkan encik untuk failkan pengesahan lafaz cerai di mahkamah kerana encik telah melafazkan talaq kepada isteri. Perlu selesaikan dahulu status lafaz talaq yang encik telah buat sebelum teruskan dengan apa-apa tindakan lain. Di mahkamah, hakim akan siasat fakta kes dan keesahan lafaz talaq tersebut.

  6. Mala

    Reply

    Salam sejahtera Tuan/Puan,

    Bekas suami saya adalah seorang tentera dan kami telah bercerai pada tahun lepas saya juga merupakan penjawat awam. Tiada cahaya mata dari hasil perkahwinan. Mahkamah telah arahkan bekas suami saya bayar RM300.00 setiap bulan untuk langsaikan RM25,000.00 tuntutan nafkah saya. Bekas suami saya telah berkahwin baru-baru ini, namun katanya dia tidak mampu bayar tunggakan saya dan ansuran sebab gajinya hanya tinggal RM10.00 setiap bulan. Dia mencabar juga bahawa Hakim akan membatalkan perintah terdahulu berkenaan nafkah sebab dia memang boleh buktikan bahawa dia tidak mampu membayar.

    • admin

      Reply

      Salam puan. Puan boleh failkan tunggakan bayaran berdasarkan perintah yang mahkamah telah keluarkan. Suami puan berkewajipan untuk membayar jumlah bayaran seperti yang diperintahkan atau ianya akan dikira sebagai hutang tertunggak. Selagi perintah tersebut tidak diubah/dibatalkan, perintah tersebut masih berkuatkuasa walaupun bekas suami mengatakan beliau tidak mampu.

  7. Joehari

    Reply

    Salaam Puan
    Soalan mengenai nafkah anak2. Saya sebagai seorang bapa telah gagal memberi nafkah secara terus kepada anak2 kebelakangan ini. Ini kerana saya telah Tamat tempoh kerja Dan Hanya berkerja sebagai pemandu grab. Saya juga gagal hadir ke mahkamah pada hari ini. Apa yg Saya perlu lakukan sekarang?

    • admin

      Reply

      Salam encik. Sekiranya ada kes nafkah anak yang sedang berjalan di mahkamah sekarang, saya nasihatkan agar encik hadir ke prosiding tersebut bagi membela diri, kerana sekiranya encik tidak hadir kes boleh diteruskan/diputuskan tanpa kehadiran encik, maka hakim berhak meletakkan apa-apa amount yang mungkin di luar kemampuan encik memandangkan encik tidak hadir ke mahkamah membela diri.

  8. Erwan zakarian

    Reply

    Assalam Tuan / Puan.
    Saya telah bercerai selama hampir 9 tahun dengan bekas isteri. Dr mula bercerai kami hanya membuat perjanjian sendiri dimana saya akan membayar nafkah sebanyak Rm1500 sebulan dan saya tidak pernah culas. Kini selama hampir 3 tahun, saya hanya bekerja biasa dengan gaji RM 1800 dan bekas isteri terus mendesak untuk di bayar RM 1500. Saya turutkan juga sehingga awal tahun 2019 ini dimana saya sudah berkahwin baru. Untuk pengetahuan.. Saya mempunyai anak lelaki berumur 17 tahun, perempuan 16 tahun dan perempuan 12tahun. Soalan.. Berapakah nafkah sewajarnya yang patut saya berikan untuk ketiga-tiga anak saya, memandangkan saya sudah berkahwin dan ada tanggungjawab lain?
    Terima kasih Tuan.

    • admin

      Reply

      Salam encik. Sekiranya perjanjian tersebut telah diendorse di mahkamah syariah yang berbidangkuasa, encik boleh failkan tuntutan ubah perintah untuk mengurangkan jumlah nafkah anak bersesuain dengan kemampuan encik yang sekarang.

  9. ROHAYA BINTI JUAINI

    Reply

    Assalamualaikum,sy ada masalah dgn suami,suami sy selalu penting kan kwn Dr sy, mslh komunikasi kami agak teruk sehingga sy rasa ingin mohon penceraian,sy dh xblh hadapi setuasi skrg,sy amat tertekan, keadaan somi bkn sht tp dia lbih perlukan kwn Dr sy,jd sy bertekad untuk mohon penceraian,d manakah sy patut rujuk kes sy,sbb sy org sabah

    • admin

      Reply

      Salam puan. Sekiranya masalah masih berlanjutan, puan boleh failkan kes permohonan cerai di mahkamah rendah syariah yang berbidangkuasa mengikut alamat tempat tinggal puan.

  10. Siti Aisyah Abdullah

    Reply

    Asalamualaikum..
    Puan…saya tidak di beri duit bulanan pun oleh suami saya…dan saya tidak bekerja…saya terpaksa berhutang dgn org keliling utk membayar hutang hutang saya…
    Saya tak tahu mcm mna

    • admin

      Reply

      Salam puan. Puan boleh failkan tuntutan nafkah isteri di mahkamah.

  11. Suraya

    Reply

    Puan..sy nk tau.sy bercerai sudah 3 thn.dan ada ank4 org yg masih kecil,semua sy yg jaga.sejak bercerai bekas suami tidak pernah melihat ank2 dan memberi nafkah.sy juga hya berniaga kecil kecilan..sy tak pasti sama ada dia berkerja ,hidup atau mati.tp saya tahu di mana dia tinggal.jika suami sy tidak bekerja adakah sy berhak menuntut nafkah ank2.dan utk pengetahuan adik beradik suami sy semua nya berpangkat dan berharta.dia juga memiliki tanah yg byk.

    • admin

      Reply

      Salam puan. Sekiranya suami tidak berkemampuan dari segi pendapatan, boleh gunakan harta beliau sebagai cagaran nafkah anak. Ahli keluarga suami juga bertanggungjawab untuk menanggung nafkah anak puan sekiranya bekas suami tidak berkemampuan. Puan boleh failkan kes nafkah anak di mahkamah.

  12. Alyssa Phoon

    Reply

    Assalam, maaf saya sorg muallaf. Saya mendapati suami saya mengambil kesempatan ke atas gaji saya. Dia tidak berkerja atas alasan ingin menjaga dan menghantar anak ke sekolah. Walaupun gaji saya hanya blh menampung 5 sekeluarga sampai tgh bulan dan seterusnye saya meminjam dari ayah saya sampai gaji seterusnye masuk. Suami tidak rasa bersalah sebab bertahun2 ayah saya menanggung kami sekeluarga.
    Semlm saya tidak berasa puas hati apabila suami saya ckp selama kahwin dgn dia duit yg dia tanggung saya. Saya kena ganti balik dari duit baju kahwin hari tu, makan dan pakai beratus ribu yg dia tanggung saya kena pulangkan. Lagi satu bukan ke jaga anak adalah satu tanggung jwb seorg ayah. Suami saya kata saya kena bayar gaji kepadanye sbb dia jaga anak. saya mmg xfhm adakah begitu ajaran agama islam semua isteri kena tanggung

    • admin

      Reply

      Salam puan. Bapa wajib menanggung nafkah anak mengikut kemampuannya, selagi dia sihat, dia perlu berusaha mencari pekerjaan bagi menampung nafkah keluarga. Suami/bapa yang bertanggungjawab mencari nafkah buat keluarga, lebih luas dan berkat rezekinya. Dipermudahkan urusannya. Sekiranya isteri bekerja dan mempunyai wang, itu adalah hak isteri untuk membantu meringankan beban suami, bukan suatu kewajipan. Sekiranya puan masih bermasalah berkenaan nafkah anak ini, boleh failkan tuntutan nafkah anak di mahkamah rendah syariah yang berbidangkuasa.

  13. Maimun

    Reply

    Assalam,

    Sy baru bercerao dan ingin menuntut nafkah anak dari bekas suami. Sy ingin tau berapakah yg wajar sy tuntut dan kebiasaannya berapakah yg makhamah akan beri? Sy mempunyai seorg anak berumur 3 tahun dan gaji bersih suamai sy ialah rm13 ribu sebulan.

    • admin

      Reply

      Salam puan. Tuntutan nafkah anak adalah bergantung kepada keperluan asas anak tersebut. Puan boleh buat kira-kira sebulan untuk 5 kategori iaitu makan/minum, pakaian, tempat tinggal, perubatan, dan pendidikan. Puan jumlahkan semua dan dapatkan anggaran sebulan, itulah jumlah yang sepatutnya. Berkenaan kemampuan bekas suami, hakim boleh siasatan semasa perbicaraan kelak.

  14. fazillah bt md ghazalli

    Reply

    Assalamualaikum tn/pn
    saya telah berpisah dengan bekas suami pada tahun 2015, saya mempunyai anak seramai 4 orang, kesemuanya di bawah jagaan saya.
    Saya tak pernah mengemukakan apa-apa tuntutan nafkah melalui mahkamah ke atas bekas suami. Bekas suami langsung tidak bekerja sekarang ini, alasan ini dia gunakan jika saya meminta nafkah untuk anak-anak. Tetapi beliau mempunyai akaun KWSP melalui pekerjaan dia yang terdahulu.
    Apakah dan bagaimana cara terbaik untuk saya menuntut nafkah yang tertunggak dan nafkah bagi anak-anak?

    • admin

      Reply

      Salam puan. Sekiranya puan masih belum memfailkan apa-apa kes nafkah anak, saya nasihatkan untuk puan failkan nafkah anak tersebut terlebih dahulu dan dapatkan perintah mahkamah yang rasmi. Kemudian, sekiranya bekas suami masih tidak membuat bayaran seperti yang diperintahkan, barulah puan failkan kes tunggakan nafkah anak.

  15. Norasyikin

    Reply

    Salam wbt…

    Puan,suami sy kini berada di pusat serenti hampir 5 bulan…selama suami berada di pusat,pihak keluarga suami ada memberi duit perbelanjaan pd tiap bulan (itupun saya minta)…tetapi kini tidak lagi…soalan saya ialah,adakah harus saya menuntut hak nafkah saya dan anak anak terhadap keluarga suami sekiranya keluarga suami tidak lagi memberi…adakah wajib pihak keluarga suami menafkahi saya dan anak anak selama suami di pusat?

    • admin

      Reply

      Salam puan. Betul puan, sekiranya suami puan tidak mampu untuk memberi nafkah, ahli keluarga suami (lelaki) wajib menanggung nafkah anak tersebut. Puan boleh failkan kes nafkah anak dan mohon perintah ahli keluarga turut menanggung sekiranya bapa sendiri tidak berkemampuan.

  16. Reply

    Saya dah kahwin 2 tahun suami saya enggan beri nafkah kt saya hampir 3 buln . Susu pampers ank saya kdg saya yg tanggung selebihnya guna duit ank saya . Ank sya yg sulung dpt duit kebajikan tiap2 buln rm350 . Saya selalu tanya suami saya mna gaji minggu nih . Dy ckp tauke dy xbg , bila sya tanya tauke dy tauke dy ckp mcm mna nk bg suami kmu dah pinjam bln lps keje 9 hari dah pinjam 6 ratus dekat saya . Buln ni dah 2 ratus selebihnya dah nk dkt rm1000 klu kira dy pinjam untuk mkn n minum . Jd skrg sekupng atau sesen pon xguna duit dy . Saya nii pandai kena urus sndri lah . Jd ap yg sya kna bt

    • admin

      Reply

      Puan boleh failkan kes nafkah anak di mahkamah dengan mohon perintah agar ahli keluarga suami turut menanggung nafkah anak sekiranya suami tidak berkemampuan.

  17. mimi

    Reply

    Salam..saya masih berkawin anak satu. Suami tak pernah bagi nsfkah bulanam..bolehka saya tuntut nafkah tertunggak kalau saya tak petnak nak bersama suami selama beberapa tahun ? Dan barubaru ni saya memilih untuk keluar dan tunggal berasingan dari suami. Anal bersama saya.

    • admin

      Reply

      Salam puan, berkenaan nafkah anak, puan boleh failkan nafkah anak di mahkamah rendah yang berbidangkuasa. Bapa wajib menanggung nafkah anak.

  18. Adawiyah

    Reply

    Assalamualaikum, Puan.
    Saya ingin menanyakan soalan tentang penceraian yang berlaku kini. Begini ibubapa saya telah bercerai selama hampir 5 tahun tetapi satu sen duit mahupun makanan pun kami 4 beradik termasuk ibu tidak dapat daripada bapa saya mahupun keluarganya. Jadi bagaimana saya sebagai anak sulung ingin menuntut nafkah kami 4 beradik termasuk nafkah eddah ibu saya. Boleh tak puan beri cadangan? kerana bapa saya sekarang duduk bersama keluarganya tanpa bekerja. Tujuan saya untuk menuntut nafkah ini kerana duit Kwspnya akan keluar pada tahun ini. Jadi bagaimana caranya untuk saya menuntutnya?

    sekian, terima kasih.
    harap puan dapatlah memberi jawapan secepatnya 🙂

    • admin

      Reply

      Salam. Sekiranya cik telah berumur 18 tahun, encik sendiri boleh failkan tuntutan nafkah dari bapa di mahkamah. Namun sekiranya masih belum cukup umur, ibu cik boleh failkan bagi pihak cik dan adik-adik. Berkenaan nafah iddah, ibu sendiri perlu failkan di mahkamah rendah syariah yang berbidangkuasa. Semoga dipermudahkan urusan.

  19. Aida

    Reply

    Salam. Saya bercerai tahun 2014 dan mempunyai 3 orang anak yang masih bersekolah dan tinggal bersama saya. Semasa bercerai saya tidak ada tuntutan nafkah untuk anak-anak. Sekadar verbal agreement untuk RM500 seorang. Ade kalanya dia tak bagi dan ada kalanya jumlahnya kurang. Bekas suami seorang pesara dan ada kalanya buat kerja kontrak. Soalan saya, jika dia tidak lagi mempunyai sumber kewangan yang tetap, adakah saya masih boleh menuntut nafkah? Saya bekerja tetap.

    • admin

      Reply

      Salam puan. Boleh. Puan boleh failkan tuntutan nafkah anak dan dapatkan perintah rasmi berbanding verbal agreement untuk memudahkan perlaksanaan perintah kelak. Puan boleh mohon perintah agar harta bekas suami dapat dijual/disewa untuk manfaat anak. Ataupun mohon keluarga bekas suami menanggung nafkah anak sekiranya bekas suami tidak berkemampuan.

  20. Is

    Reply

    Assalamualaiku. Puan
    Saya tidak bercerai..suami banyak berhutang dengan saya dan culas duit belanja saya setiap bulan..bolehkah saya buat tuntutan hutang saya di mahkamah

    • admin

      Reply

      وعليكم السلام ورحمةالله

      Setahu saya hutang hanya boleh tuntut jika berlaku cerai. Nafkah isteri dan nafkah anak boleh tuntut semasa masih berkahwin.

      • ARA

        Reply

        Assalammualaikum Admin.
        Saya nak tanya beberapa soalan?

        Apakah yang dimaksudkan nafkah tertunggak?

        Adakah potongan gaji bagi elaun perumahan melalui gaji isteri setiap bulan dari tahun 2006 sehingga 2018, boleh dituntut sebagai nafkah tertungggak oleh bekas isteri kepada bekas suami? Wajarkah dituntut oleh bekas isteri kepada bekas suami selepas berlaku perceraian memandagkan anak2 tinggal dengan ibu. dan adakah hutang yang dibayar oleh bekas isteri untuk mendahulukan hutang bekas suami boleh dituntut daripada bekas suami?

        Mengenai nafkah anak yang tertunggak. Saya mempunyai tiga orang anak. Anak sulung sya sedang belajar di IPT. Untuk makluman tuan/puan, daripada awal anak sulungnya masuk ke IPT dia tidak pernah menghantar atau melawat anaknya di sana. Persoalannya, semasa anak sulungnya masuk IPT, segala perbelanjaan awal ibu kandung saja yang mendahulukan yuran pelajaran, pembelian komputer, pakaian dan sebagainya. BOlehkah anak sulung saya menuntut tuntutan nafkah tersebut di atas nagkah tertunggak anak.

        • admin

          Reply

          Salam puan. Nafkah tertunggak boleh difailkan samada dengan adanya perintah nafkah anak ataupun belum. Namun adalah jauh lebih baik sekiranya sudah ada perintah nafkah anak yang dikeluarkan, kemudian bapa gagal patuh perintah, lalu puan failkan tunggakan. Berbanding puan failkan tunggakan nafkah tanpa perintah atau kata lain hutang tanpa hitam putih dari mahkamah. Sekiranya puan tiada perintah nafkah anak namun mahu tuntut tunggakan perintah, puan perlu buktikan kepada mahkamah semua perbelanjaan yang terhutang (dengan memberikan resit-resit terdahulu).

      • niaaa

        Reply

        Admin, sy nak bercerai atas sebab suami Saya sering memukul Saya , terlalu banyak kali . Kali ini Saya nekad untuk menfailkan cerai . Dan sy mempunyai anak berumur satu tahun . Apa yang patut Saya lalukan 26/11/2019

        • admin

          Reply

          Salam puan. Maaf atas kelewatan. Sekiranya situasi puan masih sama, puan boleh failkan perceraian di mahkamah rendah syariah yang berbidangkuasa.

  21. Suhana Ramli

    Reply

    Assalammualaikum w.b.t.h,

    tuan/puan,

    Untuk makluman, saya telah bercerai dan dalam proses perundangan untuk mendapatkan nafkah anak. status terkini utk kes nafkah anak saya sekarang adalah next prosiding bicara balas dengan pihak defenden (bekas suami) dan saksi2 bekas suami. manakala bicara balas dari saya dan saksi2 saya telah selesai. soalan saya berdasarkan status terkini perbicaraan tersebut, agak2 berapa lama lagi kebiasaannya kes tuntutan nafkah anak ini akan selesai?

    bagi soalan ke -2 pula,

    sekiranya mahkamah telah menentukan dan memerintahkan jumlah nafkah yang perlu dibayar oleh bekas dan bekas suami ingkar terhadap perintah tersebut. boleh kah saya meneruskan tindakan dengan membuat permohonan komintal terhadap bekas suami? skiranya boleh, apakah prosedur yang perlu saya ikut dan borang serta dokumen yang perlu disi dan disediakan? selain itu, untuk makluman saya rasa agak susah untuk mengfailkan permohonan untuk mendapatkan potongan gaji memandangkan bekas suami saya bekerja di Singapore namun menempat di Johor Bharu. ada tak jalan lain bagi yang boleh membuat paksaan untuk bekas suami membayar nafkah. ini kerana, saya sangat mengenali sikap bekas suami yang akan mengabaikan perintah mahkamah. justeru itu saya perlu lebih bersedia dengan mendapatkan info2 sekiranya perkara tersebut berlaku.

    sekian, terima kasih.

    dari,
    suhana

    • admin

      Reply

      1. Proses bergantung kepada samaada kes melibatkan peguam dan berapa ramai saksi yg dibawa serta tarikh lapang semua pihak termasuk hakim, peguam dan pihak2 yg terlibat. Kadangkala memakan masa sehingga 3-6 bulan, kadangkala lebih. Yang menjangkau setahun dan lebih juga ada. Ia tidak standard sebab setiap kes berbeza fakta dan keadaan. Jika nak perintah cepat, sebaiknya failkan kes interim nafkah anak yang boleh selesai kebiasaannya antara 3-6 bulan. Sementara menunggu kes nafkah anak induk selesai, suami kena bayar nafkah mengikut perintah interim nafkah anak.

      2. Jika suami gagal bayar, tak boleh terus ke komital sebab ini perintah berkenaan wang nafkah. Perlu failkan dulu kes tunggakan nafkah anak. Jika masih tak bayar, barulah buka kes saman penghutang penghakiman dan komital. Jika suami ada gagal bayar, boleh juga mohon cagaran nafkah ke atas apa2 harta milik suami.

    • admin

      Reply

      Itu tidak boleh jadikan alasan untuk suami lepas tangan. Selagi dia sihat, dia wajib mencari pekerjaan untuk menyara tanggungan. Sekiranya dia ada harta lain, boleh dijual/disewa untu manfaat anak. Atau mohon keluarganya turut menanggung nafkah sekiranya dia sendiri tidak berkemampuan.

  22. Reply

    assalamualaikum…sy berkahwin dgn duda ank 3 tetapi anak dijaga bekas isteri…suami bg nafkah anak ikut kemampuan..sy ingin bertanya mna y lebih wajib suami berikan antara nafkah isteri n anak bekas isteri..kerana suami selalu dahulukan nafkah anak bekas isteri..manakala nafkah isteri pula isteri harus meminta dahulu baru diberi..mohon penjelasan..terima kasih

    • admin

      Reply

      Salam puan. Dalam situasi puan, sefaham saya yang puan maksudkan anak bekas isteri adalah anak kandung suami puan dengan bekas isterinya, maka suami puan wajib menanggung nafkah anak tersebut lebih-lebih lagi anak tersebut kini dijaga oleh bekas isteri suami puan. Dalam masa yang sama, suami puan juga wajib menanggung nafkah puan sebagai isteri, kedua-duanya adalah wajib ditanggung oleh suami puan. Sekiranya puan mengalami masalah nafkah dari suami, puan boleh failkan nafkah isteri di mahkamah untuk dapatkan perintah bertulis hitam putih untuk suami patuhi setiap bulan. Namun untuk keharmonian rumahtangga, perbincangan secara baik dan penyelesaian luar mahkamah adalah lebih baik. Semoga dipermudahkan urusan puan.

  23. CuriouScat

    Reply

    Boleh nak buat pertanyaan kalu isteri nusyuz memang tiada nafkah untuk anak selepas bercerai?

    • admin

      Reply

      Terima kasih atas pertanyaan.

      Nusyuz tidak memberi kesan kepada nafkah anak. Bapa wajib bertanggungjawab dalam memberi nafkah kepada anak walaupun setelah bercerai.

      Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pn. Ashikin (012-9020090) atau emel kepada kin@kincolaw.com

  24. SKB

    Reply

    As salam admin,

    Sy telah mendapat perintah nafkah anak2 sejak bercerai. Namun, sejak 2014 bekas suami telah berhenti memberi nafkah anak.
    Sy tidak bekerja sekarang. Sy perlukan duit utk perbelanjaan anak2.
    Sy pernah menggunakan khidmat peguam utk membuat pemotongan gaji sebelum ini tetapi bekas suami berhenti kerja & kerja di tpt lain sebelum habis kes.
    Ada ke cara lain sy boleh menuntut perintah nafkah tertunggak? Boleh ke wang KWSP bekas suami sy tuntut sebagai tuntutan nafkah tertunggak.
    Jumlah nafkah tertunggak setakat bulan Ogos 2017 sebanyak RM35000 (termasuk nafkah bulanan, nafkah masuk sekolah & nafkah hari raya).
    Perlu ke saya menggunakan khidmat peguam utk tuntutan tersebut?

    Sekiranya saya tidak bekerja, boleh kah saya menggunakan khidmat Biro Bantuan Guaman utk kes ini?

    Mohon pencerahan.

    • admin

      Reply

      Boleh guna khidmAt JBG (jabatan bantuan guaman). Boleh juga rujuk kepada bahagian sokongan keluarga di mahkamah untuk bantu puan sementara nak dapatkan penguatkuasaan ke atas suami.

  25. Mas

    Reply

    Assalamualaikum
    Saya telah bercerai pada 2015, selepas tempoh iddah 5bulan selepas 3kali suci kesan saya mengguna implanon haid tidak teratur, saya memulakan proses tuntutan iddah mutaah dan nafkah anak. Tetapi bekas suami saya enggan bersetuju dan membuat strategi mengurangkan gaji bersihnya dari 2300 kepada 1100 ketika itu. Bekas suami saya membuat pinjaman peribadi 50ribu utk kepentingan diri seperti pinjaman kepada keluarga, beli.motor, berkahwin, membayar peguam mahkamah tinggi, melabur dalam forex,menunaikan umrah dengan isteri baru. Segalanya ada bukti2. Adakah saya masih boleh membuat tuntutan mengikut kiraan saya yang rasional seperti perbelanjaan utk 4anak kecil berusia 8tahun, 6tahun, 5tahun dan 4tahun di bandar seremban sebanyak 1200 setidaknya atau hakim akan merujuk kemampuan seperti dibuktikan dlm slip gaji bekas suami. Sehingga kini, saya hanya diberi 600 sahaja kerana bekas suami saya enggan memberi lebih kerana tiada perintah mahkamah ke atasnya, dan bolehkah sy meminta gantian kerana menanggung belanja anak hampir 1000 sebulan.

    • admin

      Reply

      Puan, nafkah tertunggak anak tidak boleh dituntut tanpa perintah nafkah terlebih dahulu. Jadi yg penting adalah failkan seberapa segera tuntutan nafkah anak. Dapatkan bukti suami sengaja kurangkan kemampuan, mahkamah akan pertimbangkan

  26. Hawa

    Reply

    Assalammualaikum puan…suami Saya mnghantar msg in pada Saya.. maksudnya dh jatuh talak kan?.. apa yg Saya blh tuntut dari suami Saya
    ” “Assamualaikum. Sebelum abg teruskan bicara abg mohon ampun dan maaf jika ada kata kata abg yg salah dan menyakitkan hati. Abg dah lama fikir secara mendalam perkara ini. Abg rasa kita akhiri ajer ikatan perkahwinan kita kerana abg dah tak ada perasaan lagi dalam perkahwinan ini. Mmg dah kosong dan abg tak nak berbohong ttg perasaan abg sekarang. Abg akan uruskan dengan JAIJ secepat mungkin. Anggap jodoh kita hanya sampai disini. Maaf sekali lagi”

    • admin

      Reply

      Lafaz suami adalah lafaz kinayah dan hanya akan jatuh jika suami memang ada niat cerai pada masa menghantar. Jadi perlu kepada pengesahan niat suami di hadapan hakim. Mengikut bacaan saya, ayat suami masih belum jatuh talaq, masih dikira proses bercerai yg dicadangkan suami.

  27. nur

    Reply

    assalamualaikum.. saya ingin bertanyakan mengenai nafkah anak.. sebelum ini nafkah anak memang stp bln diberikan oleh bekas suami walaupn amaount kdg2 berkurangan dr yg tlh dipersetujui.. kdg2 sy sndri yg meminta apabila dia kelewatan memberikn nfkh trsebut.. dlm thn ini bekas suami sudah pun berkahwin lain dan culas dalam memberi nafkah anknya walaupn sudah diminta…adakah dapat dituntut nafkah yg tidak diberikan tersebut walaupn belum ada perintah mahkamah??? bekas suami bekerja di bahagian oil & gas dan seorg yg berkemampuan .. saya sudah failkan kes dr tahun 2015 namun kes tersebut belum ada apa2 prkembangan lg sampai sekarang… terima kasih.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warahmatullah. Puan, agak sukar menuntut tunggakan nafkah anak tanpa mendapat perintah nafkah terlebih dahulu. Puan sepatutnya failkan permohonan interim nafkah anak di mahkamah tinggi, perintah boleh keluar sekitar 2-3 bulan sahaja. Manakala kes induk nafkah anak di mahkamah rendah memang akan memakan masa kerana memerlukan perbicaraan jadi cuba mohon dari mahkamah untuk mempercepatkan kes puan. Pasti ada isu lain jika kes itu masih belum selesai sejak 2015 kerana kebiasaannya kes nafkah anak boleh selesai selewatnya dalam masa setahun.

  28. Tasha

    Reply

    Assalamualikum,sy nk tnye tentang nafkah ank,sy dh brpisah slme 6thun,dr ank umo 3bulan,n dr ank umo 1thun nafkah bulanan bekas suami hnye bg rm200 sbulan,n skrg bile ank dh skolah tadika januari 2017 dye hnye tmbh rm50 sje,segala perbelanjaan lain ank sme ade sakit ke,raye ke smue sy yg tnggung dr kecil smpi skrg,thun depan ank dh skolah rendah n sy nk mtk dye utk naik kn nafkah ank,mcm mne cara nye,n nnti bekas suami akn bg alasan xmampu.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah. Puan, mahkamah sekarang amat sukar membenarkan tuntutan tunggakan nafkah untuk tahun2 yang kebelakangan kerana sepatutnya nafkah anak dituntut dari awal2 lagi sebaik sahaja si bapa gagal memberikan amaun yang mencukupi. Namun puan boleh menuntut nafkah anak dari sekarang untuk meliputi amaun yang patut diberikan dari saat puan memfailkan tuntutan atau dari tarikh perintah mahkamah. Jadi usah lengahkan lagi dan buatlah tuntutan di mahkamah seberapa segera untuk nafkah anak. Usah risaukan apa alasan yang akan diberikan suami kerana mahkamah pasti akan mengeluarkan perintah nafkah, cuma amaun nafkah itu akan bergantung kepada keperluan anak dan kemampuan suami. Jadi jika puan dapat mencari bukti pendapatan suami adalah lebih baik tetapi jika tiada, mahkamah akan meminta suami memberi keterangan mengenai pendapatan beliau yang sebenar.

  29. Hamba allah

    Reply

    Assalamualaikum puan..
    Saya nak bertanya,bekas suami dah meninggal tahun lepas.Masa hidupnya tak pernah bagi nafkah dekat ank2 seramai dua org.skrg ni,boleh ke saya nak tuntut hutang nafkah yg tak pernah arwah bagi tu? dan boleh ke saya minta nafkah bulanan dari waris arwah untuk ank2 saya?Andai kata saya tak boleh tuntut hutang tunggakan nafkah tu,sbb tiada perintah dari mahkamah,boleh ke saya tuntut hutang nafkah arwah tu,bila waris buat perintah tadbir harta pusaka kecil nnti?untuk makluman,Arwah ada meninggalkan sejumlah wang kwsp.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah.

      Puan failkan dulu permohonan tunggakan nafkah isteri di mahkamah. Jika dibenarkan barulah boleh ditolak dari harta arwah sebelum difaraid. Utk nafkah anak, boleh tuntut dari waris suami jika ada yang mampu, mankala tunggakan nafkah anak sukar dituntut tanpa perintah mahkamah terlebih dahulu semasa suami masih hidup. Wallahua’lam.

  30. nurhidayah binti mustafa

    Reply

    assalammualaikum… sy dlm proses pnceraian. dlam masa yg sama sy mngadu kpd pjabat makhmah sy nk tuntutan nafkah untuk diri sendiri.slama 3thun x prnah bg mkn mnum, pakaian dan perubatan sakit. mcmn sy nk kira kos keperluan nafkah diri…
    adakah untuk sebulan ataupn 3 thun selama sy kahwin
    dlm borang tututan nafkah perlu mngisi jumlah untuk ditututan…

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah.

      Puan boleh tuntut tunggakan nafkah isteri untuk keseluruhan tempoh 3 tahun, tetapi hendaklah disokong bukti seperti resit perubatan dan sebagainya. Manakala sesetengah kos seperti makanan bolehlah dibuat anggaran mengikut hari.

  31. Hnez2209

    Reply

    Salam puan,
    Sy ingin bertanya sekiranya suami hanya memberi nafkah ikut kemampuannya sahaja tanpa memikirkan kos2 yg meningkat sekarang ni mcmane? Lain lain perbelanjaan dibiayaai oleh isteri.
    Contoh: suami hanya membayar duit rumah sahaja RM1135 sebulan. Sedangkan isteri perlu membayar semua bil termasuk membeli kelengkapan umah dan sekolah anak RM1430.
    Kadangkala sy rasa berlaku ketidakadilan di situ.
    Semua tugas dirumah seperti pergi ke dobi, membantu dlm pelajaran ank, membimbing ank semua dpertanggungjawabkan kepada sy. Ada juga perangai2 suami yg menjengkelkan seperti tidak solat, menengking ketika marah, mengarah seperti mnyuruh sy mmbeli beras atau brg keperluan lain yg kehabisan.
    Sy da merasa bosan dgn perangai suami.
    Mohon pendapat puan. Sy merasa teraniaya dan tertekan semua ni dan tidak tahu kepada siapa tmpt mngadu.
    Bolehkah jika sy ingin berpisah dgnnya dan akta mana yg dibole pakai?

    • admin

      Reply

      Puan,

      Tanggungjawab suami memang memberi nafkah mengikut kemampuan manakala tanggungjawab hakiki isteri adalah menjaga rumahtangga dan mendidik anak2. Jika puan tidak redha menanggung nafkah yang suami tidak mampu, nyatakan kepadanya dan buat tuntutan nafkah di mahkamah, tidak perlu bercerai kerana ia lebih memudaratkan anak2 dan menyukarkan puan kerana selepas bercerai kos puan akan makin bertambah kerana terpaksa menanggung kos tempat tinggal pula. Walaupun boleh tuntut nafkah anak dari suami tetapi mahkamah akan memberi perintah mengikut kemampuan suami saja dan jika suami enggan bayar, puan perlu buat tuntutan pelaksanaan pula, jadi banyak kali perlu turun naik mahkamah.

      Manakala masalah komunikasi suami isteri ini perlulah dibincangkan secara baik, beritahu suami kepenatan puan mengurus semuanya dan buatlah pembahagian tugas yang dipersetujui. Tanpa komunikasi yang baik ini, masalah akan sentiasa timbul dalam pelbagai cara. Saya harap puan boleh bersabar demi mencari redha Allah.

      Jika masih tidak mengubah keadaan keluarga, berbincanglah dengan suami sekiranya dia setuju menceraikan puan secara baik.

  32. Sham

    Reply

    Salam puan.. isteri sy berkerja dan bergaji besar.. tempat tinggal , persekolahan ank2 serta makan minum sy yg tanggung.. isteri mempunya kereta ..isteri yg bayar sendiri.. makan minum isteri dan ank2 jika kami keluarmakan sy yg tanggung sepenuhnya.. sy ingin tahu adakah sy wajib bg isteri nafkah berbentuk duit cash setiap bulan.? Dan beraper kadar yg wajib sy sumbangkan pada isteri..? T. Kasih

    • admin

      Reply

      Tidak wajib beri cash jika encik sudah sediakan semua keperluan dalam bentuk barangan. Melainkan wang cash diperlukan untuk keperluan peribadi beliau seperti toileteries atau wang ke klinik dan sebagainya

  33. Naufal

    Reply

    Assalamu’alaikum. Saya nak tanya. Ayah saya dipenjara selama 6 tahun (2005-2011). Sepanjang tempoh dia dipenjara, emak saya yang menanggung segala keperluan nafkah anak-anak (yang sepatutnya menjadi tanggungjawab ayah). Emak saya baru sahaja meninggal 8 bulan yang lepas. Adakah anak-anak boleh menuntut nafkah tertunggak ayah selama dia dipenjara ? Terima kasih.

    • admin

      Reply

      nafkah tertunggak anak sepatutnya hanya boleh dituntut selepas mendapat perintah nafkah anak terlebih dahulu. Jika dibiarkan tertunggak tanpa mendapatkan perintah di peringkat awal kecuaian, agak sukar hakim nak meluluskan tuntutan untuk jangka masa yang lama tertunggak, sesetengah mahkamah tidak benarkan pun failkan nafkah tertunggak tanpa perintah mahkamah asal. Sepatutnya arwah ibu mohon perintah nafkah anak 6 tahun dulu barulah boleh anak2 tuntut tunggakan tersebut. Apa yg boleh dibuat sekarang adalah tuntut nafkah anak untuk anak2 yang masih di bawah umur 18 tahun, yang perlu ayah bayar dari tarikh tuntutan dibuat.

  34. Suhaini

    Reply

    Assalamualaikum Puan.

    Saya telah lama berpisah dgn bekas suami. Anak di bawah jagaan saya sepenuhnya. Dan bekas suami tidak bagi nafkah walau sesen pun. Bagaimana caranya saya boleh tuntut semua nafkah anak2 yang tertunggak dan juga duit saya yang diguna bekas suami atas dasar pinjam dulu…?

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam Puan,

      Failkanlah tuntutan tunggakan nafkah anak dan tuntutan nafkah anak di mahkamah rendah syariah terdekat dengan tempat mastautin. Hutang hendaklah dituntut di bawah kes hutang.

  35. Putri

    Reply

    Assalammualaikum puan,
    Sya nk tya pendpt puan klu bekas isteri dh dpt perintah mahkamah bekas suami pn dh angkat sumpah mnyatakn sanggup mmberi nafkah ank msa diawal perceraian tpi lama² mula hilng nafkah tidak diberi kpd ank.. Bila bekas isteri pergi mahkamah,pihak mahkamah tidak dapat brbuat apa² kerana tidak dapat hubungi bekas suami..
    Adakah cara untuk bekas isteri mndptkn maklumat majikan tmpt bekerja bekas suami??
    Diharapkn puan sudi mmbantu.
    Terima kasih.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam Puan,

      Bekas isteri perlu cuba mencari cara sendiri untuk mengesan tempat kerja suami. Cuba merayu kepada institusi seperti KWSP atau Bank Negara untuk mengesan siapa majikan yang membuat tolakan ke akaun KWSP suami atau yang membuat deposit gaji ke akaun suami setiap bulan.

  36. Siti khadijah khamis

    Reply

    Assalamualaikum puan,
    Sy ingin bertanya sy bcadang ingin daftar penceraian secara baik (fast track) dlm ms terdekat ni. Sy ade kemusykilan ttg suami ade bgtau xkan bg nafkah slps bcerai. Adakah semasa perbicaraan nati sy boleh dpt jaminan atau pengesahan mahkamah bkenaan nafkah ni kalo benar suami mengaku dpn hakim xnak bg dan sy nk jaminan utk menyekat suami bjumpe ank2. Alasan suami dia xnk amik tau lg slps bcerai. Selama suami bg nafkah mmg hanya utk anak2 shj yg konsistent selama 1.5 tahun lebih krg. Yg lain sy tanggung sendirian selama hampir 7thn. Atau ade kaedah lain untuk sy pertahankan keselamatan anak2 & diri sy.? Ank 3 org.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah, kes cerai hanya akan ada perintah berkenaan cerai, melainkan ada persetujuan untuk merekodkan perintah berkenaan nafkah anak-anak dan sebagainya. jika tiada persetujuan pihak-pihak, puan perlu failkan kes nafkah di mahkamah rendah syariah sebagai kes berasingan, dan untuk hak jagaan dan lawatan anak2, hendaklah failkan kes hadhanah di mahkamah tinggi syariah.

  37. Amira

    Reply

    Assalamualaikum puan. Boleh sy tau mcm mana nak buat tuntutan nafkah tertunggak isteri? Dokumen apa yang sy perlu bawa, bukti/saksi, dan anggaran bayaran yg dikenakan oleh mahkamah. Adakah sy perlu lantik pegiam syariah? Adakah tuntutan ink blh dibuat di semua mahkamah rendah syariah? Sy yg menanggung suami selama ini, dan skrg suami dah ada gaji besar. Sblm ni dia kata akan ganti balik duit sy tapi bila dah ada gaji besar, dia buat tak endah.

    • admin

      Reply

      waalaikumussalam warah matullah,

      Puan bawalah bukti gaji suami, dan semua resit perbelanjaan untuk menanggung tempat tinggal, pakaian, makan minum, persekolahan dan perubatan.

      Tidak perlu lantik peguam jika puan tidak mampu. Jika mampu, peguam boleh membantu memudahkan proses dokumentasi, dan puan tidak perlu banyak kali hadir ke mahkamah melainkan sebutan pertama, bicara dan keputusan sahaja.

      Tuntutan nafkah boleh dibuat di mahkamah rendah syariah terdekat dengan tempat mastautin semasa puan.

  38. Zakiah

    Reply

    Assalammualikum pn. Sekiranya saya berjaya mendapatkan perintah Mahkamah untuk mendapatkan nafkah dan saya ingin dilakukan secara potongan gaji. Apakah prosedur yang perlu saya ikuti dan bagaimanakah pengiraan perbelanjaan yang perlu disediakan oleh suami antara bil anak dan gaji suami

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah Puan Zakiah. Sekiranya suami gagal membayar nafkah secara konsisten mengikut Perintah, Puan perlu memfailkan permohonan saman penghutang penghakiman dan buatlah permohonan untuk mendapatkan potongan gaji dalam masa yang sama. Mahkamah akan mengeluarkan perintah yang berkenaan dan Puan perlu menyerahkan Perintah tersebut kepada majikan suami untuk tindakan mereka selanjutnya.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *