SAMAN ORANG KETIGA

8B3E7C6F-D234-4DC5-8706-1B820CEAD360

Saya sering ditanya orang awam berkenaan dengan saman orang ketiga. Mungkin kerana beberapa artikel dalam surat khabar online yang giat disebarkan memberikan harapan kepada pasangan yang teraniaya akibat pihak ketiga yang cuba menggugat keharmonian rumah tangga mereka.

Tapi ada beberapa perkara yang saya rasa wajar diperjelaskan lagi agar masyarakat sedar apakah realiti berkenaan saman orang ketiga terutama bagi pasangan yang beragama Islam.

1. Tindakan mahkamah terhadap org ketiga bagi orang beragama Islam hanya ada peruntukan di bawah undang-undang jenayah syariah, berbeza dengan peruntukan undang-undang sivil yang mempunyai jalan untuk menyaman pihak ketiga bagi jenayah DAN sivil (ganti rugi). Untuk orang Islam, TIADA peruntukan untuk mendapatkan ganti rugi dengan menyaman pihak ketiga.

2. Apabila kita bercakap berkenaan undang-undang jenayah syariah, hanya pendakwa syarie yang mempunyai kuasa budi bicara utk memulakan sesuatu kes. Peguam atau pihak-pihak yang terlibat tidak  boleh failkan sendiri kes saman pihak ketiga di mahkamah. Proses ini sama sahaja dengan mana-mana kes jenayah lain, saya bagi contoh, dalam satu kes curi contohnya, hanya timbalan pendakwa raya boleh memfailkan kes terhadap si tertuduh, manakala mangsa kecurian itu sendiri tidak boleh memulakan sendiri kes terhadap si pencuri  di mahkamah jenayah.

3. Jadi, apakah langkah untuk mendapatkan kes jenayah syariah dimulakan terhadap orang ketiga? Sepertimana mana-mana kes jenayah syariah lain, orang awam yang hendak membuat aduan perlu hadir di pejabat agama berdekatan dan mengisi aduan rasmi berkenaan salah laku orang ketiga tersebut. Bawalah bukti dan maklumat yang mencukupi, gambar-gambar jika ada, dokumen cetakan mesej telefon, resit-resit hotel dan sebagainya. Berdasarkan bukti ini, pegawai agama akan menyiasat. Jika cukup bukti dan pegawai agama merasakan kertas siasatan perlu diajukan kepada pendakwa, fail akan dihantar kepada pendakwa. Jika aduan dan bukti si pengadu itu lemah, kemungkinan kes akan ditutup tanpa disiasat lanjut.

4. Bagi siasatan-siasatan yang diajukan kepada pendakwa, Pendakwa syarie akan meneliti laporan yang dibuat oleh pegawai agama yang menyiasat. Jika dirasakan kes pendakwaan itu kuat dan boleh diambil tindakan di mahkamah, barulah pendakwa akan memfailkan kes jenayah syariah tersebut terhadap pihak ketiga yang berkenaan.

5. Realitinya, saya belum pernah lagi mendengar atau membaca ada kes pendakwaan terhadap orang ketiga difailkan di mana-mana mahkamah syariah di Malaysia, dan saya juga tidak pernah membaca sebarang laporan kes saman pihak ketiga dalam mana-mana jurnal undang-undang, melainkan kes melibatkan orang bukan islam di mahkamah sivil sahaja.

6. Benar, undang-undang syariah memang ada peruntukan kesalahan jenayah terhadap orang ketiga, namun kebanyakan pendakwa syarie tidak meneruskan dengan pendakwaan bagi kes sebegini kerana ia sukar dibuktikan. Malah, bayangkan jika pendakwa membawa satu kes saman pihak ketiga bagi satu pasangan, pastinya ia akan membuka pintu kebanjiran (floodgate) kepada banyak lagi kes sebegini, kerana terlalu banyak aduan berkenaan orang ketiga yang diterima pihak berkuasa. Kerana itulah realitinya, kes sebegini tidak dibawa ke mahkamah, dan pendakwa lebih menumpukan kepada kes-kes lain.

7. Jika anda mempunyai bukti yang lebih kuat berkenaan kecurangan pasangan, contohnya, ada bukti mereka melakukan zina, kemukakan bukti seperti gambar, video atau resit hotel, dan buat aduan supaya pasangan dan orang ketiga didakwa di bawah kesalahan zina atau khalwat, dan bukannya di bawah peruntukan kesalahan orang ketiga.

Pandangan dan nasihat saya kepada individu yang terjejas dengan kecurangan pasangan mereka, jika anda adalah si suami, ambillah tindakan nusyuz terhadap isteri, dan jika anda adalah si isteri, failkan cerai terhadap suami. Tiada gunanya membalas dendam kepada pihak ketiga kerana hakikatnya pasangan anda juga bersalah dalam hal ini, dan tinggalkanlah perkahwinan itu jika anda tidak bersedia memaafkan pasangan atau pasangan anda tidak berubah. Terlalu banyak kes yang datang di hadapan saya yang melibatkan pasangan yang curang beberapa kali, ini bermakna, kebiasaannya memang mereka akan sukar meninggalkan perbuatan curang itu dan akan melukai anda lagi. Usahlah menderita lagi sekiranya pasangan anda tidak menghargai kesetiaan anda.

Sekadar pandangan,

Ashikin Rahim

2-1-2020

Sebarang pertanyaan atau untuk melantik Peguam Syarie, boleh click WhatsApp Link: https://wa.link/gnrupa

Comments (10)

  1. Einna

    Reply

    Salam Puan/Tuan, bagaimana mengatasi masalah gangguan pihak ketiga BUKAN ISLAM kepada lelaki (suami) berugama Islam. Si lelaki telah memutuskan hubungan lama tetapi si pelaku masih terus menganggu.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam, maaf atas kelewatan respon, pada pandangan saya, suami puan boleh membuat laporan polis dan boleh juga memfailkan kes saman di Mahkamah Sivil.

  2. jessy

    Reply

    salam. sekiranya terdapat gambar pihak ketiga dgn pasangan tetapi gambar yang ada sticker tak nampak muka,boleh ke jadi bukti? gambar di post di facebook yg bukan di atas nama sebenar.. boleh ke di gunakan atau kes di kira lemah?
    Dan pihak ketiga ini tidak pernah menghasut untuk bercerai tetapi saling bercinta suka sama suka. selain ini tiada bukti lain.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam, maaf atas kelewatan respon, semasa puan pergi membuat aduan di Pejabat Agama Islam, puan boleh membawa bukti-bukti tersebut dan mendapatkan pencerahan lanjut daripada Pegawai Agama tersebut. Kerana, Pegawai Agama yang merekodkan aduan tersebut akan memanjangkan aduan puan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut sama ada elemen dan bukti adalah mencukupi untuk kes dibuka.

  3. Ahmad Radzi Abu

    Reply

    Saya punya bukti kukuh kecurangan isteri saya,blh tuan bantu saya?

    • admin

      Reply

      Salam Encik, sekiranya encik ingin meneruskan dengan kes saman orang ketiga ini, encik boleh terus membuat aduan di pejabat agama islam daerah dan membawa juga bukti-bukti yang encik ada untuk ditunjukkan kepada pegawai penguatkuasa agama (PPA) kerana kes ini adalah termasuk di dalam kes jenayah syariah yang mana tindakan adalah dimulakan oleh Pendakwa Syarie terhadap pesalah. pihak PPA kemudiannya akan merekodkan aduan encik tersebut dan akan disampaikan kepada pegawai penyiasat untuk peringkat seterusnya.

  4. Suharni Ajmain

    Reply

    Assalamualaikum. Bagaimana pula kes jika, orang ketiga yang mengganggu gugat rumah tangga ialah seorang yang bukan beragama Islam? Jika terdapat bukti yang kukuh yang si suami dan orang ketiga itu melakukan zina?. Suami ialah seorang Muslim. Suami cuba mendesak si isteri untuk setuju bercerai kerana si suami sendiri tidak yakin boleh berlaku adil jika berkahwin dua. Dan mereka tidak boleh berhenti berjumpa, tidak sedar melukai hati banyak pihak. Apa tindakan pertama yang perlu diambil? Mohon pandangan professional dalam hal seperti ini.

    • admin

      Reply

      Wassalam puan, sekiranya pihak ketiga itu adalah bukan Islam, maka orang tersebut tidak boleh didakwa di bawah Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah kerana undang-undang tersebut hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja. Namun, dakwaan telah berlaku persetubuhan luar nikah atau khalwat tersebut boleh diadukan kepada pejabat agama islam untuk tindakan lanjut dari pihak mereka sama ada kes-kes tersebut boleh diteruskan untuk siasatan atau tidak kerana dalam kes sebegini, suami masih tertakluk kepada Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah kerana status agama suami adalah Islam.

  5. Supri siddek

    Reply

    Mcm sya sndri,istri sya sntiasa bersangka buruk pada sya,walaupun sya x perna sekali pun curang,tpi istri sya tuduh sya curang padahal kami 24jam sama²,tidur,mkn,mndi semua kami lakukan sama² smpikn istri sya sndri ikut sya ke tmpt kerja…sya faham yg dia d buru oleh masa silam nya,sya suami yg ke3 da dlm hidupnya,sya tak perna kisah pasal masa lalu nya sbb sya terima dia n ank² nya seadanya,tpi dri sblm kwin smpi da nikah lepas tu istri baru lepas melhirkn ank sya 2 minggu lalu tpi smpi sekrang sya masih di tuduh curang,skrg istri sya minta sya untuk melafazkn cerai talak3 tnpa sebab,dan dia nak failkn saman untuk saya dan orang ke3,sya sndri pun x tau siapa org ke3 tu,isteri sya seorg guru sya pula seorg yg x berpendidikn tinggi mcm dia hnya kerja biasa² saja jadi soal perdebatan mmg sya kalah…persoalan nya sekarang ni..siapa ka yg akan di salahkan??jika sya x menceraikn isteri sya ni,sya rasa serba salah sbb istri sya sentiasa memaki hamun,menuduh sya,mengaibkn sya pada semua org tpi sya masih bertahan atas sebab tanggungjawab sya pada anak yg d kandungkan sehingga lah baru lahir,..soal dia nak saman sya mgkin sya tidak terlalu kisah lagi sbb bagi sya klu da nasib sya kena tnggung semua tu insyaallah sya akan tnggung,tapi soal isu dan saman org ke3 yg x perna wujud nya…

    • admin

      Reply

      Salam encik, berkenaan isu orang ketiga, mengikut peruntukan undang-undang syariah di Malaysia, ia adalah termasuk dalam kes jenayah yang bermaksud, tindakan memulakan kes itu hanya boleh dibuat oleh Pendakwa Syarie. Orang awam hanya boleh bertindak sebagai pemberi maklumat sahaja. Sekiranya terdapat maklumat dan bukti yang kukuh serta siasatan yang rapi telah dibuat, maka pendakwa syarie boleh mendakwa pihak yang dianggap orang ketiga itu. Dalam situasi encik, saya berpandangan bahawa, sekiranya tiada bukti yang menunjukkan berlakunya isu orang ketiga ini, maka tiada kes yang akan dibuka oleh pendakwa syarie terhadap encik dan ‘orang ketiga’ tersebut. Namun, saya sarankan untuk encik dan isteri mencari titik persefahaman antara satu sama lain selagimana masih ada rasa sayang untuk mempertahankan hubungan perkahwinan. Mungkin boleh dimulakan dengan mencari orang tengah yang rapat dengan isteri untuk memberi nasihat positif atau alternatif lain seperti berjumpa kaunselor rumahtangga dalam usaha untuk membaiki hubungan perkahwinan encik dan isteri. Namun, sekiranya membawa haluan masing-masing itu adalah jalan terbaik untuk pihak-pihak, maka tidak ada salahnya sekiranya segala usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan hubungan perkahwinan. Semoga encik diberikan ketenangan hati dan dipermudahkan segala urusan.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *