PERSEDIAAN KE MAHKAMAH UNTUK KES CERAI DENGAN PERSETUJUAN (TANPA PEGUAM)

Assalamualaikum.

Saya senaraikan persediaan yang patut tuan/puan lakukan sekiranya akan menghadiri suatu pendengaran atau sebutan pertama kes cerai yang dipersetujui kedua-dua pihak dan tanpa kehadiran peguam. kalau sudah ada peguam, peguamlah yang akan beritahu apa persediaan yang perlu anda lakukan.

1. suami DAN isteri WAJIB HADIR SENDIRI. Tidak boleh hantar wakil, tidak boleh secara video conference, tidak boleh sengaja tidak menghadirkan diri. Sebabnya, suami kena lafaz talaq dengan kehadiran isteri, dan hakim akan soal kedua-duanya sebelum beri kebenaran untuk lafaz cerai dibuat.

2. perlu bawa SALINAN ASAL sijil nikah, sekurang-kurangnya satu salinan asal, samaada sijil nikah simpanan suami atau sijil nikah simpanan isteri. Ini kerana Hakim perlu mengesahkan nikah itu memang nikah yang sah dilakukan di Malaysia dan bukannya nikah sindiket palsu.

3. ISTERI DALAM KEADAAN SUCI dari haid. Jika hari yang ditetapkan itu isteri tiba2 datang haid, perlulah ditangguhkan kes dengan menelefon Mahkamah lebih awal atau berjumpa sendiri dengan pegawai Mahkamah. Jangan teruskan kes dalam keadaan haid. Juga jangan tidak datang langsung tanpa beritahu Mahkamah lebih awal kerana kes boleh dibuang.

4. TIDAK BERLAKU HUBUNGAN KELAMIN DALAM TEMPOH SUCI selepas haid yang terakhir. Percaya atau tidak, ini ada berlaku. Walaupun setuju bercerai tapi suami isteri “bersama” sebelum hadir ke Mahkamah. Hakim kebanyakannya tidak akan memberikan kebenaran cerai jika ada berlaku persetubuhan dalam tempoh suci kerana bimbang benih suami akan membuatkan isteri hamil dan memanjangkan tempoh iddah yang memudaratkan si isteri jika perceraian diteruskan.

5. ISTERI TIDAK HAMIL. kebanyakan hakim tidak memberikan kebenaran cerai jika isteri sedang hamil atas alasan yang sama seperti perkara 4 di atas. Ini berbeza sekiranya lafaz telahpun dibuat terlebih dahulu dan kes pengesahan cerai saja dilakukan di hadapan Hakim. Tapi suami kena bayar denda kepada pihak Jabatan Agama jika lafaz cerai di luar mahkamah itu disabitkan menjatuhkan talaq.

6. PERSETUJUAN SELEPAS CERAI. Boleh rekodkan persetujuan antara suami isteri seperti berkenaan nafkah iddah, mutaah, hutang perkahwinan (jika ada hutang antara suami dan isteri yang hendak dilangsaikan mengikut terma tertentu) dan nafkah anak, tetapi mestilah semua perkara ini di bawah bidangkuasa Mahkamah yang membenarkan cerai. Kebanyakan kes cerai di mahkamah rendah syariah, jadi nafkah iddah dan nafkah anak memang direkodkan di mahkamah rendah. Namun untuk perkara berkaitan hak jagaan anak (hadhanah) dan harta sepencarian mestilah direkodkan di mahkamah tinggi syariah sahaja; bermakna pasangan perlu memfailkan kes lain untuk merekodkan terma berkenaan hadhanah dan harta sepencarian di mahkamah tinggi syariah, SELEPAS kes cerai selesai. Manakala mutaah dan hutang perkahwinan hendaklah mengikut jumlah tuntutan yang berkenaan, jika melebihi suatu amaun tertentu (bergantung pada enakmen negeri masing2), kes itu perlu difailkan di mahkamah tinggi syariah. Jika di bawah amaun tertentu, bolehlah mutaah dan hutang itu direkodkan bersekali dengan kes cerai di mahkamah rendah syariah tadi.

7. AMBIL PERINTAH CERAI selepas beberapa hari bekerja. Mahkamah akan keluarkan. Bergantung kepada mahkamah berkenaan tempoh. Ada yang selepas 30 hari, ada yang selepas 7 hari. Telefon dulu mahkamah untuk check status perintah cerai. Janganlah pushy sangat, kesian Mahkamah proses banyak perintah dalam satu hari, bagi masa. Bukan anda seorang sahaja yang bercerai. Ada beribu-ribu kes dalam sebulan. Dan ingat yang perintah cerai TIDAK SAMA DENGAN SIJIL CERAI. Selepas dapat perintah cerai, barulah boleh submit perintah asal tersebut bersama sijil nikah asal ke PEJABAT AGAMA YANG DISEBUT DALAM PERINTAH MAHKAMAH, biasanya pejabat agama terdekat dengan mahkamah yang memberikan perintah cerai.

Moga bermanfaat,

Ashikin Rahim

7-3-2020

Sebarang pertanyaan atau untuk melantik Peguam Syarie, boleh click WhatsApp Link: https://wa.link/gnrupa

Comments (4)

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam, maaf atas kelewatan respon, kebiasaannya, Mahkamah tetap memerlukan sijil nikah untuk mendaftarkan kes perceraian. Dalam kes sijil nikah hilang, pihak-pihak boleh ke pejabat agama islam dan membuat cabutan sijil nikah yang baru.

  1. badrol

    Reply

    kalau nk cerai, mcmna nk elak dr dia kikis harta saya krn semua harta tu saya yg beli. dia x kluarkan duit langsung.

    • admin

      Reply

      Assalamualaikum encik, sekiranya berlaku perceraian antara suami isteri, maka suami atau isteri berhak untuk membuat tuntutan harta sepencarian untuk menuntut hak masing-masing bagi harta yang diperolehi/dikembangkan dalam tempoh perkahwinan.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *