Sejujurnya, terlalu banyak pertanyaan yang diajukan kepada kami berkisar mengenai isu tidak cukup nafkah, yang membawa kepada isteri menuntut perceraian dari suami…
Tahukah anda bahawa undang-undang syariah membenarkan anda menuntut nafkah daripada suami atau waris suami (seperti bapa mertua dan datuk suami JIKA suami tidak mampu kerana sebab-sebab tertentu seperti suami masuk penjara atau suami lumpuh) untuk menanggung nafkah yang mencukupi tanpa perlu melalui proses perceraian?
Sebenarnya, jika isu yang anda hadapi hanyalah berkenaan masalah tidak cukup nafkah, sebaiknya janganlah terus memilih untuk bercerai, kerana ia membawa lebih keburukan berbanding kebaikan terutama jika ada anak-anak yang akan menjadi mangsa perpecahan keluarga tuan/puan.
Sebagai peguam syarie, kami juga berpendapat bahawa tidak sewajarnya anakguam terus memilih untuk bercerai kerana mungkin suami ingin lebih berusaha untuk meningkatkan pendapatan keluarga. Atau mungkin dengan adanya perintah nafkah dari Mahkamah Syariah, barulah suami lebih terdorong untuk lebih bertanggungjawab dalam soal nafkah.
Situasi ini berbeza sekiranya selain cuai menyediakan nafkah, suami ada kesalahan lain terhadap isteri seperti suami bertindak mencederakan isteri (dengan kecederaan yang boleh dibuktikan melalui laporan perubatan dan laporan polis, serta berlaku dalam masa terdekat sebelum isteri memohon cerai), atau melakukan kemaksiatan lain secara terbuka dan keterlaluan, atau terus menghilangkan diri tanpa berita. Dalam keadaan-keadaan sebegini, barulah kami akan menasihati anakguam bahawa perceraian mungkin penyelesaian terbaik.
Jadi, jika nafkah adalah semata-mata isu dalam masalah rumahtangga tuan/puan, apa yang harus tuan/puan lakukan? Cadangan kami:-
- Suami dan isteri wajar berbincang secara terbuka dan dengan baik, sesama sendiri tanpa melibatkan orang lain terlebih dahulu. Cari masa bersendirian tanpa gangguan, gunakan intonasi yang baik dan tidak cepat menuduh atau menyalahkan, dan berbincang secara matang tentang kerunsingan yang tuan/puan hadapi berkenaan masalah wang ini. Kadangkala suami mengambil enteng soal nafkah kerana isteri sudah membayar kebanyakan kos rumahtangga, tetapi tidak sedar yang isteri sebenarnya tidak berpuas hati kerana isteri tidak pernah mengadu secara terbuka. Untuk para isteri, jangan offer untuk bayarkan kos rumahtangga jika isteri tidak mahu atau tidak ikhlas melakukannya, kerana wang yang isteri berikan tanpa memberitahu kepada suami bahawa ianya dianggap hutang, sukar dituntut kembali melalui proses mahkamah. Suami pula jangan menganggap yang isteri wajib menanggung keluarga hanya kerana suami membenarkan isteri bekerja, jika itu dijadikan alasan, lebih baik suruh isteri duduk goyang kaki di rumah sahaja, dan andalah bekerja 24 jam untuk memastikan kos rumahtangga dapat ditanggung sepenuhnya oleh anda seorang, anda kan suami. Jika pilihan itu adalah mustahil, perlulah berbincang secara baik tentang perbelanjaan keluarga, isteri perlu mengikhlaskan hati tentang sumbangan yang sanggup diberikan, manakala suami tetap perlu berusaha meningkatkan pendapatan untuk menanggung kos yang asas seperti tempat tinggal, makanan, belanja anak-anak dan sebagainya. Tidak wajar juga mengharap isteri menanggung hanya kerana isteri berpendapatan lebih tinggi, sedangkan anda boleh berusaha lebih lagi dengan mencari kerja sampingan atau berniaga kecil-kecilan. Selagi boleh, ringankan beban isteri agar tanggungjawab isteri kepada suami dan anak-anak dapat dijalankan dengan lebih baik.
- Kemudian, saya akan tanya, adakah suami bayarkan sewa/ansuran rumah? Adakah suami belikan makan minum atau barang dapur? Adakah suami bayarkan jika ke klinik? Adakah suami bayarkan jika beli baju? Adakah suami bayarkan yuran sekolah anak? Dan soalan2 lain yg berkaitan. Jika jawapannya YA, maka suami ADA beri nafkah. Nafkah, menurut undang2, bukan hanya berbentuk wang semata, kalau digantikan dengan barangan yg berbentuk makan minum, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, dan pendidikan maka dikira suami itu menjalankan tanggungjawab beri nafkahnya walaupun suami tak beri cash atau pocket money.
- Memang saya tak nafikan, ada ustaz bagitahu yg suami kena bagi pocket money, tapi ikut undang2, jika suami itu mampu sediakan semua keperluan secara barangan saja, maka tak perlu lagi beri nafkah berbentuk duit kepada isteri. Perlu beri isteri duit hanya jika suami tak belikan barangan kewajipan itu saja. Boleh lihat penerangan seksyen 73 dalam enakmen keluarga islam utk nafkah anak, yg juga relevan utk menerangkan nafkah isteri: http://www2.esyariah.gov.my/…/275416725308958748257115000d6…
Penerangan di atas terpakai bila suami tu memang mampu nak bayar 100% nafkah yg diperlukan. - Zaman sekarang memang kebanyakannya tak mampu, melainkan suami jutawan saja. Sebab tu kebanyakan isteri juga terpaksa bekerja supaya boleh bantu tampung kos keluarga. Dalam situasi begini, bagaimana kalau suami memang belikan barang tapi x cukup? Maksudnya, sebagai contoh, suami hanya bayar ansuran rumah tapi tak beli barang dapur. Maka dalam keadaan ini, kita akan lihat kemampuan suami pula. Berapa pendapatan suami dan komitmen suami. Adakah kesemua keperluan nafkah isteri dan nafkah anak itu tidak cukup ditampung dgn gaji suami semata? Jika tidak cukup, hanya jumlah yg berpatutan saja perlu ditanggung suami. Kuncinya di sini adalah KEMAMPUAN SUAMI/BAPA. Jadi tidaklah dipaksa seorang suami/bapa itu menanggung keseluruhan kos nafkah jika memang dia tak mampu untuk menyediakannya.
- Tapi lihat juga faktor2 berkaitan kemampuan tu. kalau suami sengaja buat hutang yg tak perlu (seperti personal loan, beli kereta mewah, beli rumah lebih dari satu) sehinggakan mengurangkan kemampuannya, maka suami itu bukanlah sebenarnya tidak mampu. Begitu juga jika suami sengaja tidak bekerja atau sengaja kerja bergaji rendah sedangkan dia ada pilihan dan peluang untuk memilih kerja bergaji tinggi atau bekerja tambahan untuk menambahkan pendapatan. Penilaian kemampuan ni akan diteliti berdasarkan situasi suami itu masing2.
- Jadi kalau berlaku masalah berkaitan nafkah ini, para isteri tak perlu terus nak mohon cerai. Bukan itu penyelesaiannya. Kalau hanya isu berkaitan duit menjadi masalah rumahtangga, mohonlah perintah nafkah isteri dan nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah terdekat. Tak perlu bercerai untuk mohon nafkah. Mahkamah boleh keluarkan perintah kepada suami untuk beri nafkah tetap setiap bulan kepada isteri sebagai nafkah isteri dan nafkah anak, yang sesuai dengan kemampuan suami.
Wallahua’lam
Ashikin Rahim
12/02/2018
Sebarang pertanyaan atau untuk melantik Peguam Syarie, boleh click WhatsApp Link: https://wa.link/gnrupa