- SAMAN – dokumen ini difailkan oleh Plaintif untuk tuntutan yang melibatkan perbicaraan (jika tiada persetujuan dicapai semasa Majlis Sulh). Pihak-pihak dalam Saman dipanggil Plaintif dan Defendan. Saman ini bukan macam saman polis ye. Tidak semestinya jika kita terima saman bermakna kita pihak yang bersalah dan akan dihukum. Ia hanya bermaksud ia adalah satu kes yang perlu dibicarakan. Kebiasaannya dokumen Saman akan disertakan dengan “Pernyataan Tuntutan” di belakangnya. Contoh kes-kes yang dimulakan dalam Saman adalah kes nafkah anak, hak penjagaan anak, harta sepencarian, dan lain-lain.
- PERNYATAAN TUNTUTAN – Fakta-fakta yang menyokong tuntutan Plaintif dalam Saman, akan dinyatakan di dalam Pernyataan Tuntutan ini. Plaintif perlu membuktikan fakta-fakta yang dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan ini. Hanya menyatakan fakta sahaja tidak bermakna Plaintif sudah membuktikan tuntutan. Perlu melalui bicara dengan mengemukakan saksi atau dokumen2 berkaitan, untuk mendapatkan perintah Mahkamah yang membenarkan tuntutan yang dibuat tersebut.
- PEMBELAAN – dokumen ini difailkan oleh Defendan sebagai menjawab Pernyataan Tuntutan. Kadangkala boleh juga dimasukkan Tuntutan Balas bagi kes-kes melibatkan Defendan ingin menuntut sesuatu perkara yang berkaitan dengan tuntutan Plaintif. Jika ada tuntutan balas, dokumen ini akan dipanggil “PEMBELAAN DAN TUNTUTAN BALAS”. Contohnya, Plaintif (ibu) menuntut hak jagaan anak, Defendan (bapa) menuntut balas untuk hak jagaan anak yang sama.
- JAWAPAN – dokumen ini difailkan oleh Plaintif sebagai menjawab Pembelaan yang difailkan Defendan.
- IKATAN DOKUMEN – dokumen ini difailkan oleh Plaintif atau Defendan sebelum perbicaraan, dengan melampirkan semua salinan dokumen yang ingin dikemukakan dalam perbicaraan. Semasa bicara, dokumen asal hendaklah dikemukakan kepada Hakim. Barulah salinan dokumen dalam Ikatan Dokumen ini akan diterima untuk dipertimbangkan sebelum keputusan dibuat.
- KETERANGAN BERTULIS – dokumen ini difailkan oleh Plaintif atau Defendan dan saksi masing-masing, untuk merekodkan secara bertulis berkenaan apa fakta yang ingin dikemukakan kepada Mahkamah. Ia lebih panjang dan terperinci berbanding Pernyataan Tuntutan / Pembelaan. Dan ia kebiasaannya berbentuk soalan dan jawapan. Keterangan bertulis disediakan seolah-olah soalan jawapan tersebut akan diucap secara lisan di hadapan Hakim. Dokumen ini disediakan untuk menjimatkan masa Mahkamah daripada menyalin setiap pengataan lisan semasa bicara. Namun, bukan semua Hakim membenarkan keterangan bertulis semasa bicara. Masih ada Mahkamah yang mengamalkan keterangan lisan dalam semua perbicaraan supaya fakta yang keluar dari mulut Plaintif / Defendan adalah spontan.
- PERMOHONAN – dokumen ini difailkan untuk kes yang ditentukan secara Afidavit. Permohonan akan disokong oleh Afidavit Sokongan. Kes-kes ini kebiasaannya tidak dibicarakan sepertimana tuntutan yang dimulai dengan Saman. Pihak yang memfailkan kes ini dipanggil Pemohon, dan kadangkala kes-kes begini tidak melibatkan orang yang menjawab (Responden). Contoh kes yang difailkan secara Permohonan adalah kes faraid dan kes pengesahan nikah. Namun kes-kes begini melibatkan proses “siasatan” di mana Mahkamah masih mahu menyiasat dengan bersoal-jawab dengan Pemohon dan saksi-saksi beliau.
- PERMOHONAN INTERLOKUTORI / PERMOHONAN INTERIM EX-PARTE / INTER-PARTE – Permohonan ini biasanya difailkan setelah ada kes induk Saman difailkan terlebih dahulu. Ia melibatkan perintah sementara yang perlu didapatkan dari Mahkamah sementara menanti penyelesaian kes Saman secara bicara kerana bicara mengambil masa yang panjang. Contoh permohonan interlokutori adalah permohonan meminda pernyataan tuntutan. contoh permohonan interim ex-parte (sebelah pihak) adalah permohonan hak jagaan anak secara terdesak. contoh permohonan inter-parte (banyak pihak) adalah permohonan hak jagaan sementara melibatkan semua pihak. Permohonan sebegini melibatkan pertukaran Afidavit antara semua pihak terlibat, dan kebiasaannya Hakim akan meminta Hujahan difailkan (selalunya bagi kes melibatkan Peguam). kemudian Hakim akan memberikan keputusan berdasarkan Afidavit dan Hujahan tersebut, tanpa perlu melalui perbicaraan.
- AFIDAVIT – ini adalah suatu dokumen bertulis yang diangkat sumpah di hadapan Pendaftar. Ia melampirkan dokumen-dokumen sokongan yang dilabel sebagai “Ekshibit”. Setiap ekshibit perlu didahului dengan suatu dokumen dipangggil “pengenalpastian ekshibit” di mana pendaftar akan mengesahkan juga salinan dokumen tersebut dengan menandatangan pengenalpastian ekshibit sebelum salinan dokumen tersebut dilampirkan.
- HUJAHAN BERTULIS – selalunya dokumen ini diminta oleh Mahkamah untuk difailkan oleh pihak yang diwakili Peguam. ini bagi membantu Mahkamah membuat keputusan berdasarkan kajian undang-undang dan rumusan fakta dan rumusan perbicaraan yang disediakan oleh Peguam.
- PERINTAH / PENGHAKIMAN – dokumen ini mengandungi keputusan Hakim secara bertulis, selepas perintah/penghakiman lisan dibacakan.
Nota: masih banyak dokumen yang berkaitan dengan kes-kes syariah yang tidak dihuraikan di atas, namun secara asasnya, ini adalah antara dokumen utama yang digunakan dalam sesuatu kes. sekiranya pihak Mahkamah merujuk kepada sesuatu dokumen semasa kes sedang berjalan, rujuklah kepada tajuk dokumen tersebut untuk memahami apakah dokumen yang sedang dirujuk, dan beri perhatian kepada apakah tajuk dokumen yang perlu disediakan sekiranya diarahkan berbuat demikian. Sekiranya menghadapi masalah, bolehlah melantik Peguam Syarie untuk menyediakan semua dokumen yang diperlukan atau dapatkan khidmat nasihat / khidmat mendraf dokumen yang diperlukan sahaja.
Moga bermanfaat.
Ashikin Rahim
11-04-2021
Sebarang pertanyaan atau untuk melantik Peguam Syarie, boleh click WhatsApp Link: https://wa.link/gnrupa