5 PERKARA SEMUA SUAMI/ISTERI PERLU CELIK
Bercakap daripada pengalaman mengendalikan dan mendalami kes-kes syariah, saya dapati banyak suami/isteri yang menghadapi masalah rumahtangga berdepan dengan masalah yang lebih besar apabila ingin menuntut cerai atau menuntut hak mereka di bawah undang-undang untuk harta sepencarian, nafkah tertunggak, hutang dalam perkahwinan, hak jagaan anak dan pelbagai lagi tuntutan lain. Hakikatnya, semasa menuntut apa jua hak anda, Mahkamah hanya akan memberikan penghakiman yang memihak kepada anda atau memberikan jumlah tuntutan yang wajar kepada anda berdasarkan kepada berapa kuat bukti yang anda ada. Oleh itu, saya merasakan perlunya mengingatkan semua suami/isteri yang berdepan dengan masalah rumahtangga untuk memberikan perhatian kepada perkara-perkara di bawah sekiranya anda ingin mendapatkan hak sewajarnya apabila membuat tuntutan di Mahkamah.
- Sekiranya berlaku kekasaran fizikal, terus buat laporan polis dan ‘medical check-up‘ di hospital kerajaan
Kekasaran fizikal sering berlaku kepada isteri, dan tidak kurang juga kepada suami. Anda bersikap mulia kerana sanggup memaafkan kekasaran yang dilakukan kepada anda, mungkin demi anak-anak atau kerana pasangan sudah meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi. Anda percaya perkara tersebut tidak akan berulang tetapi ia tetap berlaku lagi dan lagi dan lagi. Sewajarnya sebaik selepas kejadian, anda secara senyap-senyap membuat laporan polis setidak-tidaknya hanya sebagai rekod kejadian yang berlaku dan teruslah membuat pemeriksaan fizikal di hospital kerajaan. Dapatkan salinan laporan polis dan laporan perubatan tersebut, dan simpanlah di tempat yang selamat (di tempat kerja atau di rumah ibubapa anda, atau mana-mana tempat yang pasangan anda tiada akses kepadanya). Anda boleh lupakan dan maafkan kejadian tersebut jika itu yang anda mahu, tetapi simpanlah bukti-bukti tersebut kerana anda tidak sedar betapa pentingnya dokumen-dokumen tersebut suatu hari nanti.
2. Senaraikan semua hutang yang anda berikan kepada pasangan
Pastikan setiap duit atau harta-benda yang anda pinjamkan kepada pasangan dicatat (cara terbaik adalah dengan meng’emel’kan diri sendiri berkenaan butiran pinjaman tersebut supaya ia kekal rahsia dan boleh diakses di kemudian hari). Elakkan memberi wang secara tunai kerana ia sukar dibuktikan, melainkan anda ada saksi cukup umur dan lelaki soleh yang boleh menjadi saksi yang adil yang melihat anda memberikan wang tersebut kepada pasangan. Jika pasangan ingin meminjam wang, berikan dalam bentuk ‘bank transfer‘ yang menyatakan butiran pinjaman kerana bukti pemindahan wang ini boleh dicetak. Pastikan pasangan tahu bahawa duit atau harta-benda tersebut sememangnya di’PINJAM’kan dan bukan dihadiahkan, itu hak anda dan anda wajar perjelaskan supaya tidak diambil ringan oleh pasangan. Sahkan perbualan anda dengan pasangan melalui WhatsApp atau mesej pesanan ringkas atau emel atau apa sahaja bentuk bertulis yang boleh dikemukakan di kemudian hari.
3. Catat kejadian penting dan pengakuan pasangan
Seeloknya, semua kejadian penting seperti insiden-insiden pasangan curang atau menipu anda atau mencederakan anda atau anak anda dicatatkan tarikh, masa dan butiran kejadian tersebut secara terperinci dalam suatu jurnal. Jurnal ini boleh juga dalam bentuk online (Microsoft Word, emel, atau aplikasi telefon seperti ‘notebook’). Walaupun anda telah memaafkan pasangan dan melupakan kejadian, simpanlah butiran ini sebagai ‘insurans’ anda, kerana anda tidak pasti samaada anda perlu menggunakannya di masa hadapan.
4. Sahkan perkahwinan anda bagi yang berkahwin di luar negara
Untuk apa jua sebab (wali tidak setuju, berkahwin poligami atau sebab-sebab lain), anda dan pasangan memilih untuk bernikah di luar negara. Anda mungkin belum mempunyai anak atau tidak merasakan keperluan untuk mengesahkan perkahwinan anda pada masa ini. Ketahuilah bahawa ini merupakan satu kesalahan di bawah enakmen syariah di semua negeri. Banyak ketidakadilan berlaku kepada pasangan yang bernikah secara diam ini kerana pasangan yang menganiaya mengetahui bahawa anda tiada hak di sisi undang-undang kerana perkahwinan anda belum diiktiraf di Malaysia. Dapatkanlah dokumen-dokumen asal pernikahan anda, dan butiran saksi-saksi, wali dan jurunikah semasa pernikahan tersebut. Cubalah seberapa segera memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan tersebut kerana selagi mana anda tidak berbuat demikian, anda tidak dapat dibantu oleh undang-undang untuk mendapatkan hak anda sekiranya anda dizalimi. Sekalipun anda dalam perkahwinan yang bahagia, pasangan yang bertanggungjawab tidak akan membiarkan status anda berdua terus berada di awang-awangan.
5. Kenali pasangan anda, sumber pendapatan dan harta-benda pasangan
Perkara ini kebiasaannya lebih terpakai kepada para isteri kerana tanggungjawab memberi nafkah adalah di atas bahu suami. Sekalipun anda dalam perkahwinan yang bahagia, ambillah tahu berkenaan pekerjaan suami anda, pendapatan bulanannya dan harta-benda miliknya. Ini kerana jika berlaku kematian di pihak suami, anda pastinya tidak mahu roh suami anda terseksa kerana harta-bendanya tidak dibahagikan sebaiknya mengikut hukum faraidh. Banyak isteri yang menghadapi kesulitan setelah kematian suami kerana mereka langsung tiada akses kepada dokumen harta-benda milik suami. Perkara yang sama berlaku apabila si isteri mendapat tahu bahawa suami berkahwin lain dan isteri mahu menuntut harta sepencarian (Nota: ketahuilah bahawa harta sepencarian boleh dituntut oleh isteri yang dimadukan sekalipun anda tidak bercerai dengan suami). Maklumat-maklumat ini juga penting untuk menyokong tuntutan-tuntutan sekiranya isteri ingin menuntut tunggakan nafkah, nafkah anak dan hutang dalam perkahwinan. Suami yang bertanggungjawab, menyayangi dan mempercayai anda tidak akan teragak-agak untuk berkongsi maklumat ini sekiranya diminta.
Ashikin Rahim
~30 Mac 2016~
Sebarang pertanyaan atau untuk melantik Peguam Syarie, boleh click WhatsApp Link: https://wa.link/gnrupa
Ahmad Khoiri
admin