Nusyuz dari segi undang-undang ada bezanya dari pemahaman kebanyakan orang.
Peruntukan dalam enakmen/akta negeri masing-masing hanyalah memperuntukkan nusyuz sebagai halangan kepada isteri menuntut nafkah. Dan itupun terhad kepada tempoh isteri disabitkan nusyuz sahaja.
Ini bermakna di Mahkamah Syariah, nusyuz hanya boleh difailkan oleh suami terhadap isteri, tidak boleh difailkan isteri terhadap suami.
Untuk mendapatkan sabitan nusyuz juga bukan mudah. Ia perlu dibuktikan secara bicara, bermakna perlu disokong keterangan saksi atau diakui perbuatan nusyuz oleh si isteri, dan hakim berpandangan perbuatan itu sememangnya suatu perbuatan nusyuz. Bukan sekecil-kecil benda semuanya boleh menjadi nusyuz hanya sebab suami berpandangan sedemikian. Yang ada kuasa menentukan nusyuz hanyalah Hakim yang mendengar kes tersebut, bukan si suami yang menentukan.
Jika suami menang kes sekalipun, nusyuz hanya menghalang isteri tuntut nafkah untuk tempoh nusyuz. Sabitan nusyuz TIDAK AUTOMATIK menghalang tuntutan lain seperti mutaah, nafkah tertunggak isteri (untuk tempoh tidak nusyuz), nafkah anak, hak jagaan anak, harta sepencarian, dan lain-lain. Isteri masih berhak membuat tuntutan-tuntutan ini terhadap suami jika berlaku perceraian atau dalam proses perceraian.
Kin Rahim
17-1-2022