- Serahan dokumen – kes yang dimulakan oleh seorang Plaintif wajib diserahkan ke diri kepada Defendan, bermakna perlu serah ke tangan Defendan. Jika anda menggunakan khidmat penghantar serah Mahkamah, dan serahan perlu dibuat di luar negeri, atau alamat Defendan yang terkini tidak diketahui, kes tidak boleh diteruskan sehinggalah Defendan dibuktikan telah menerima dokumen tersebut. Oleh itu, dapatkan alamat terkini Defendan, usahakan membuat penyerahan melalui peguam atau wakil, dan dapatkan bukti penerimaan dengan mengambil gambar Defendan menerima dokumen (tiada masalah sekiranya Defendan tidak mahu tandatangan penerimaan pada borang).
2. Jika Defendan hilang serta tidak diketahui keberadaannya, buat permohonan penyampaian dokumen secara ganti. Bermakna, mohon dari Hakim untuk menyerahkan dokumen secara tampalan di alamat terakhir Defendan dan iklan di surat khabar. Selepas penyampaian ganti disempurnakan, kes boleh diteruskan sebelah pihak.
3. Sekiranya kes melibatkan perbicaraan, dan Defendan hadir untuk membela diri, kes akan agak panjang kerana melibatkan 3 proses: soal utama, soal balas, soal semula. 3 proses ini akan dijalankan terhadap Plaintif, setiap saksi Plaintif, Defendan, dan setiap saksi Defendan. Jadi, jika ada 10 orang memberi keterangan, proses ini akan diulang untuk setiap 10 orang tersebut, bermakna 10 orang x 3 proses. bermakna, ia boleh memakan masa sehingga 30 kali kehadiran ke Mahkamah. Jadi, kurangkan saksi, hanya kemukakan saksi yang benar-benar perlu.
4. Jadual Peguam Syarie, Mahkamah, Plaintif, Defendan dan saksi, yang tidak bersesuaian antara satu sama lain juga mungkin menyebabkan kelewatan penyelesaian kes. Kurangkan percanggahan dengan memohon beberapa tarikh bicara dengan lebih awal, dan bukan hanya 1 tarikh bagi setiap bicara. Ini tertakluk juga kepada kesesuaian Mahkamah yang berkenaan.
5. Tulis surat untuk memohon tarikh lebih awal, atau mendapatkan status kes sekiranya masih tiada maklum balas berkenaan tarikh kes. Kadangkala fail tercicir atau ada masalah penetapan tarikh, jadi jika anda mengingatkan pihak Mahkamah, ia boleh membantu perhatian kepada kes anda. Cuma, janganlah sehingga mengganggu dan menyukarkan pentadbiran kes. Mahkamah wajib dihormati setiap masa, kerana ia adalah badan kehakiman yang dibentuk oleh undang-undang dan diberi kuasa oleh pemerintah negeri masing-masing.
6. Sentiasa bersedia dengan kes, agar tiada penangguhan berlaku jika anda gagal menyediakan dokumen untuk perbicaraan seperti yang diarahkan. Jika mahkamah perintahkan untuk failkan sesuatu dokumen, pastikan ia difailkan beberapa hari bekerja sebelum tarikh seterusnya, supaya sempat dimasukkan dalam fail kes sebelum kes dipanggil.
Moga dapat membantu,
Kin
5-11-2021
Sebarang pertanyaan atau untuk melantik Peguam Syarie, sila klikĀ https://wa.link/gnrupa